Saturday, June 23, 2012

SEINDAH PELANGI

Takkan ada seorang isteri yang dengan senang hati memberikan suaminya kepada orang lain. Satu keputusan yang sangat hebat dugaannya apabila suami meminta izin untuk berumah tangga lagi.
Tapi sampai bila kita sebagai perempuan akan terus-terus ditipu walaupun kuasa mutlak ada pada suami. Sesungguhnya seorang wanita itu sangat lemah hatinya. Walaupun mulut berkata tidak tapi hati masih boleh bertahan. Masih mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri. Hanya ketika itu suami tidak akan pernah terlintas berfikir bagaimana sedihnya hati si isteri. 

Yang penting niatnya terlaksana dengan cara macam mana sekalipun. Segala kesan dan akibat ditolak ke tepi, ke tengah dan ada juga isteri tua ditolak jauh ke belakang. Waktu ini takkan lagi terkenang jasa si isteri yang sanggup bermati-matian meningkatkan ekonomi keluarga. Waktu ini tak lagi ada rasa belas kasihan pada isteri yang bertarung nyawa melahirkan zuriatnya. Waktu ini takkan ada lagi kenangan-kenangan manis yang telah bertahun-tahun dibina.

Hanya kerana satu alasan - tak mahu merumitkan lagi keadaan. Tetapi dengan menipu atau lebih manis lagi dengan istilah 'berselindung', 'merahsiakan' dan 'belum masa untuk diberitahu' bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cara ini sebenarnya lebih memburukkan keadaan.

Tak kira siapa pun akan merasa dikhianati. Teman sehidup semati yang pernah berjanji memberikan bintang dan bulan sehingga lautan api sanggup direnangi membuat keputusan yang sangat besar tanpanya. Baik isteri atau suami..
Apatah lagi sejarah ini hanya disampaikan oleh mulut-mulut orang ketiga.

"Tak pentingkah aku dalam hidupnya?" atau "siapa aku disisinya?" atau "apa yang aku tak ada sehingga dia jadi pilihanmu mengenepikan aku?"
Semua persoalan ini membuatkan isteri tadi jadi hilang arah, hilang punca dan hilang tujuan.

Bagi si suami, remeh sangat isu ni. Banyak lagi perkara yang lebih penting  perlu difikirkan. 

Disinilah punca keretakan bermula...
Isteri tua akan mula melakukan sesuatu diluar jangkauannya:-

Pendam atau Meletup!

PENDAM
Rata-rata isteri tua memendam perasaan. Menangis sendirian sehingga ada yang tak mampu melakukan rutin harian. Dalam keadaan begini, si isteri tak pasti samada dirinya diperlukan atau tidak. Berlaku sedikit kekeliruan. Apakah tindakan yang perlu dilakukan? Perlukah dia berlagak seperti biasa tapi hati yang hancur menjadikan dia kaku..

Saat ini sepatutnya suami memainkan peranan. Walau sesakit mana pun hatta sewaktu melahirkan, mendapat pelukan yang penuh perhatian dan kasih sayang, Insya Allah luka dihatinya mudah dirawat.


MELETUP
Tak kurang juga ramai isteri tua yang meletup. Meletus umpama gunung berapi yang tak mampu lagi ditahan-tahankan. Dalam saat kekeliruan ini, isteri sanggup melakukan apa sahaja bahkan menyerang isteri muda dari segi mental dan fizikal. 
Serangan berbentuk sms sangat popular. Bermacam kata-kata kesat berhamburan menyebabkan kedua-dua isteri akan saling mendendami antara satu sama lain.

Itu yang meletup dengan mulut. Ada juga yang meletup dengan cara lain. Sukar dimengertikan letupan jenis ini. Isteri yang ada kehidupan di luar akan mencari penyelesaian dari pihak asing. Di sinilah bermula kata-kata beracun ini, " kalau dia boleh cari orang lain, aku pun boleh cari orang lain."
Kadang-kadang perhatian suami yang semakin berkurang kerana terpaksa membahagikan masa kepada 2 singgahsana menjadikan si isteri mencari tempat lain untuk mengadu nasib. Biasanya perempuan sukar mengadu dengan perempuan. Macam cas:- positif akan tertarik pada cas negatif. Jarang dalam keadaan begini, cas positif melekat pada cas positif. Ini lumrah kehidupan.

Maka, punca letupan juga kurangnya perhatian suami. Suami leka mengatur masa dengan kehidupan baru sehingga terlepas pandang pada akibat yang akan berlaku.

Perempuan punya 9 nafsu dan 1 akal. Keadaan letupan ini mampu membawa kemusnahan yang lebih besar sehingga kadang-kadang terjadinya penceraian. Tak kira penceraian pada pernikahan yang terdahulu atau pernikahan yang terbaru.

Siapakah mangsanya?

Dalam apa jua keadaan, mangsa yang paling terkesan adalah anak-anak. Akibatnya anak-anak dibesarkan dalam keadaan keluarga yang tidak aman, anak-anak merasa keliru bagaimana melayani ibu baru kerana mahu menjaga hati ayah atau ibu serta anak-anak akan belajar dari apa yang berlaku sepanjang hidupnya.

Tidak mustahil, anak-anak akan mewarisi keluarga kacau-bilau dan generasi ini akan terus melakukan kesilapan.

Oleh sebab itu, ilmu poligami perlu didedahkan sejak awal kepada anak-anak. Bukan membuka ruang untuk si ayah bernikah lagi tapi sekurang-kurangnya anak-anak tidak mengalami kejutan budaya poligami. 

Sebagai seorang ibu dan wanita, saya tidak mahu sama sekali menantu perempuan saya disakiti atau merasa dikhianati oleh anak lelaki saya hanya kerana poligami. Dan saya mahu anak perempuan saya tidak disakiti atau dikhianati oleh menantu lelaki saya hanya kerana poligami. Kita perlu membuka ruang yang lebih banyak betapa poligami bukanlah suatu yang negatif. Kitalah generasi yang perlu membetulkan kembali fakta-fakta negatif berkenaan poligami.

Seandainya diselidiki dari segala aspek, monogami atau poligami, masing-masing punya ujian dan dugaan yang sangat hebat. Segalanya terletak pada tangan suami. Latihlah anak-anak lelaki kita untuk menjadi lelaki dan suami yang hebat. Kalau pun ada wanita yang pernah disakiti hatinya, tanamkanlah azam agar anak lelaki kita tidak akan pernah mengikuti jejak langkah serta mewarisi ketidakadilan ini.

Berpoligami adalah seperti memandu kapal terbang.

Kalau dahulu kita selalu curi-curi bawa motor atau kereta ayah ibu. Rasa bangga bila dapat melaram keliling padang atau ke pasar malam. Tau serba sedikit dah boleh curi-curi bawa.
Itu motor dan kereta. Tapi kapal terbang, sejauh mana kita boleh bawa sekiranya belajar lebih kurang? Mana ada yang berani curi-curi menerbangkan kapal terbang walaupun kapal terbang itu ayah dia punya. Berlaku sedikit kesilapan, ia mampu terhempas.

Andainya kita dapat menerbangkan sebuah pesawat, satu keseronokkan, kebahagian dan kepuasan yang tidak terkata. Melintasi awan dan pelangi seolah-olah ia berada begitu dekat sekali dengan kita.

Menghayati kebahagian dan menikmati seluruh kehidupan... seindah pelangi. Kitalah yang mencorakkannya.

Begitu juga dengan tanggungjawab yang perlu kita semai pada anak-anak lelaki kita. Tanggungjawab pada keluarga bukan sekadar memberi nafkah zahir batin tapi tanggungjawab yang lebih besar adalah melindungi ahli keluarganya daripada api neraka.

Poligami atau monogami sangat memerlukan ilmu yang secukupnya. Umpama ilmu menerbangkan pesawat. Apabila berjaya mencipta bahagia dan tenang dalam institusi keluarga, umpama kita berjaya menerbang dan mendaratkan sebuah pesawat. Apabila kita berjaya menghasilkan generasi yang tidak ada kepincangan, umpama penerbangan kita merentasi awan tebal yang akhirnya pesawat mendarat dengan selamat.


Kita perlu lakukan sesuatu!!!



















































Thursday, June 21, 2012

Sunday, February 13, 2011

Monday, August 16, 2010

Tanyalah Ustaz 2010 /Episod 224

Tanyalah Ustaz 2010 /Episod 224

amat berguna sekali untuk kita jadikan panduan pemakanan kita...